Kumpulan PKINK Sokong Program Inisiatif Membaca 2019
KOTA BHARU 23 April – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) buat sekian kalinya menyertai program inisiatif Mari Membaca Serentak Selama 10 Minit sebagai sokongan menjayakan kempen membentuk masyarakat ke arah minat membaca walaupun dalam tempoh yang singkat.
Pengurus Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, Ahmad Nazri Ismail berkata, PKINK menganggap program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia itu wajar direbut anggota PKINK untuk memupuk budaya minat membaca.
“Kita sebenarnya memperbanyakkan bahan-bahan bacaan di setiap bahagian untuk menarik minat membaca di kalangan anggota sebab ingin memantapkan pengetahuan anggota dengan maklumat semasa selain meningkatkan motivasi dan jati diri mereka.
“Justeru dengan penganjuran Mari Membaca Serentak Selama 10 Minit itu memberi peluang penglibatan lebih ramai anggota PKINK, bukan sahaja pengurusan dan anggota, bahkan syarikat kumpulan dan penyewa dibangunan ini,” katanya selepas program inisiatif Mari Membaca Serentak Selama 10 Minit di Bilik Mesyuarat Utama Tingkat 10, Bangunan PKINK di sini, pagi tadi.
Katanya, PKINK tidak pernah ketinggalan menyokong program inisiatif yang dianjurkan sejak tahun 2014 itu.
“Pastinya membaca bahan bacaan selama 10 minit itu tidak mencukupi, namun ia sebagai contoh yang baik kepada orang ramai di luar sana untuk menjadikan amalan membaca setiap hari,” katanya.