Accessibility Tools

Skip to main content

Kalafest 2019 Platform Jualan Murah Ambang Ramadhan

KOTA BHARU – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akan menawarkan daging lembu tempatan pada harga RM25 sekilogram kepada Pengunjung Kelantan Authentic Lifestyle and Art Fest (KALA FEST) Kelantan 2019 pada 24 hingga 28 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus berkata, tawaran itu antara kelainan yang boleh didapati pengunjung sempena penganjuran festival kali keenam itu yang akan berlangsung di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan di Jalan Hamzah di sini.

Menurutnya, harga tersebut sebenarnya jauh lebih murah berbanding di pasaran iaitu sekitar RM30 sekilogram.

“Memandangkan ia bakal menjadi antara tumpuan, maka kita terpaksa mengehadkan pembelian sebanyak dua kilogram setiap pengunjung.

“Sebanyak lima ekor lembu tempatan akan disembelih pada setiap hari dan ditawarkan kepada pengunjung sepanjang festival berlangsung.

“Selain itu, jualan ayam kampung, sayur - sayuran, buah-buahan dan juga ikan segar turut disediakan kepada pengunjung sebagai persiapan untuk menyambut Ramadan," katanya pada sidang media sempena KALA FEST Kelantan 2019 di pejabatnya di sini, hari ini.

Ab Aziz berkata, pihaknya dapat menawarkan harga itu memandangkan lembu berkenaan diternak sendiri oleh anak syarikat kumpulan berkenaan.

Katanya, sebanyak 103 gerai produk usahawan anak Kelantan, agensi kerajaan negeri dan luar Kelantan turut dibuka sepanjang festival berlangsung nanti.

Pihaknya turut menyasarkan kira-kira 100,000 pengunjung ke festival berkenaan yang bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Lebih menarik katanya, pengunjung juga berpeluang bertemu dengan beberapa artis tempatan antaranya, Mustapha Kamal.

Bukan itu sahaja, kisah 'Geng Gi Mekoh Nga Mutor' akan menarik lebih ramai pengunjung yang mahu mengetahui cerita di sebalik pengembaraan tiga anak muda menunggang motosikal ke tanah suci.

Beliau berkata festival itu bertujuan membantu meningkatkan pelancong ke Negeri Serambi Mekah dan juga sebagai platform kepada usahawan-usahawan tempatan terutama di bawah kelolaan PKINK untuk memperkenalkan produk mereka sekali gus menaikkan ekonomi negeri.

Katanya festival tahunan yang bermula sejak 2015 itu juga akan mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan sukan tradisional, pertandingan mewarna batik dewasa, taklimat pembiayaan perniagaan oleh Agro Bank, persembahan nasyid, dikir barat dan demo masakan.

Beliau berkata dalam usaha mengkomersialkan produk dan makanan tradisi negeri ini, pengunjung berpeluang menikmati nasi kerabu hijau, pulut durian, ketupat palas, solok lada dan sambal daging selain produk seni kraftangan seperti batik, songket dan perhiasan perak.