Accessibility Tools

Skip to main content

Ceramah Pengukuhan Mantapkan Pemahaman Anggota PKINK

KOTA BHARU 3 Mac : Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) memberi pendedahan dan kefahaman kepada anggota mengenai tema utama kerajaan negeri Kelantan bagi mendepani cabaran tahun 2019 melalui ceramah pengukuhan tema amanat tahun baharu 2019 yang disampaikan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Ustaz Asri Daud, bertempat di Bilik Operasi Bangunan PKINK di sini, pagi tadi.

Ceramah mengenai “Pengurusan Ihtirafi Tunjang Kesejahteraan” ini adalah sebahagian daripada siri pemahaman kepada penjawat awam negeri Kelantan termasuk Kumpulan PKINK mengenai tema utama kerajaan negeri menerusi amanat Menteri Besar Kelantan yang telah disampaikan di Kompleks Kota Darul Naim pada 3 Januari lalu.

Ceramah ini turut menyentuh 3 fokus utama kerajaan negeri pada penggal ini. Fokus pertama ialah mencipta lebih banyak peluang pekerjaan melalui pembangunan industri hiliran hasil daripada sumber asli yang dimiliki oleh negeri. Fokus kedua pula berkenaan soal kebersihan dan keceriaan serta penghijauan negeri. Fokus ketiga pula ialah bagi menangani gejala sosial dan aktiviti maksiat.

Kerajaan Negeri juga telah meletakkan sasaran untuk melaksanakan 2 perkara yang besar dalam tahun 2019 iaitu pertamanya adalah untuk mengadakan pertandingan kebersihan dan keceriaan di antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Keduanya adalah pengaktifan dan penjenamaan semula program desa takwa yang pernah dilaksanakan pada suatu masa dahulu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Kumpulan PKINK dan Pengurus Kanan Perundangan dan Integriti Kumpulan. Ahlaami Ab Halim.