Kumpulan PKINK Bina Bangunan Baharu Pondok Maheliah Geting
PENGKALAN KUBOR 28 Feb – Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) membantu Pondok Meheliah Geting membina pondok teres 5 pintu sebagai satu sokongan kepada kerajaan negeri yang berusaha memberikan fasiliti terbaik kepada institusi pendidikan di negeri ini bagi melahirkan lebih ramai agamawan yang mampu menguasai pelbagai cabag ilmu termasuk Pendidikan moden.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Wan Hamat berkata, Kumpulan PKINK meneruskan konsep dasar berkebajikan yang diamalkan di Kelantan sejak era Tok Guru Nik Aziz lagi.
“Terima kasih kepada Kumpulan PKINK yang telah membantu perkembangan Islam di Kelantan khususnya institusi pengajian pondok dengan menyediakan kediaman selesa kepada pelajar pondok.
“Melalui sumbangan ini juga dapat menjadikan satu ikatan yang kukuh antara kerajaan, agensi negeri dan rakyat di negeri ini khususnya dalam bidang Pendidikan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Fasiliti Tambahan Pondok Meheliah Geting, Tumpat, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Hal Ehwal Korporat) Kumpulan PKINK, Nik Kamil Amirah Nik Ab Rahman pula berkata, pondok ini adalah daripada sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan PKINK.
“Bermula daripada bantuan bekalan makanan pada banjir besar tahun 2014, PKINK terus melangkah kedepan dengan membaikpulih lebih 1000 buah rumah rakyat miskin di negeri ini selain turut membantu usahawan, institusi pondok dan pelbagai lagi sumbangan telah disalurkan untuk rakyat negeri ini,” ujarnya.
Turut hadir, Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan, Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Iktisad Darul Naim, Dato’ Dr Wan Zawawi Wan Ismail dan Wakil Pondok Meheliah Geting, Mohd Munzir Kamaruddin.
Sementara itu, Mohd Munzir Kamaruddin bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri dan Kumpulan PKINK terhadap golongan agama.
“Alhamdulillah, selain sumbangan pondok, Kumpulan PKINK turut menyediakan lain-lain kelengkapan dan fasiliti untuk keselesaan pelajar disini,” ujarnya.