Accessibility Tools

Skip to main content

PKINK Rai Anak Yatim Sempena Bulan Ramadhan

KOTA BHARU 24 Mei – KEDATANGAN bulan Ramadan sangat dinantikan oleh setiap mukmin. Ini kerana bulan Ramadan banyak kelebihan dan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT. Salah satu amalan yang dijanjikan ganjaran adalah dengan bersedekah.

Sedekah adalah sesuatu pemberian yang dilakukan dengan ikhlas tanpa dibatasi oleh jumlah tertentu dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah.

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bukan setakat sinonim sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab membangunkan negeri Kelantan bahkan juga giat melaksanakan kerja-kerja kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab. Aziz Yunus berkata, sempena bulan Ramadan PKINK mengambil peluang meraikan anak-anak yatim dengan memberi sumbangan duit raya.

"Ini satu penghargaan kita kepada anak-anak yatim dan tidak berkemampuan ini, dalam masa yang sama majlis ini sebagai salah satu cara pihak kami memberi balik kepada masyarakat setempat yang kurang bernasib baik.

“Selain bagi memenuhi keperluan Sumbangan Sosial Korporat (CSR), majlis itu juga bagi merai anak-anak yatim itu menyambut Ramadan dan syawal dengan lebih ceria,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika satu Program Ihya’ Ramadan 1440H Komuniti Dan Masyarakat di Rumah Kelab Balkis, Taman Kenangan, di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 26 orang anak yatim Kelab Balkis diberi duit raya selain turut menyumbang kewangan kepada Kelab Balkis untuk tujuan pengurusan.

Hadir sama di majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Hal Ehwal Korporat) Kumpulan PKINK, Nik Kamil Amirah Ab Rahman, Pengurus Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, Ahmad Nazri Ismail, Pengurus Projek, Sumber Asli dan Industri Kumpulan, Ahmad Hilmi Mohd Nawawi, Pengurus Pengurusan Maklumat Kumpulan, Ridzuan Sidek dan Pengurus Kelab Balkis, Mohd Hilmi Abdul Rahman.