PKINK Agih Juadah Berbuka Untuk Penjaga Pesakit di HRPZ II
KOTA BHARU 27 Mei - Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mengagihkan sebanyak 200 pek makanan berbuka puasa kepada penjaga kepada pesakit yang sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab. Aziz Yunus berkata, program yang julung kali diadakan oleh PKINK itu bukan sahaja sebagai tanda prihatin terhadap masyarakat tetapi bertujuan meringankan beban penjaga kerana terpaksa menunggu pesakit yang menyukarkan mereka untuk membeli juadah berbuka puasa.
“Kami berasa terpanggil untuk menyediakan hidangan untuk berbuka puasa kepada mereka ini sebagai antara Program Ihya’ Ramadan 1440H Komuniti Dan Masyarakat dan berharap ianya mendapat keberkatan di bulan yang mulia ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Pek Makanan Berbuka Puasa PKINK di HRPZ II, Kota Bharu, disini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan merangkap Ahli Lembaga PKINK, Dr Izani Husin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Hal Ehwal Korporat) Kumpulan PKINK, Nik Kamil Amirah Nik Ab Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Kumpulan PKINK, Mohamad Nasriff Daud, Pengarah HRPZ II, Dato' Dr Selasawati Ghazali, Timbalan Pengarah HRPZ II, Dr Mohd Azman Yacob dan Pengurus-pengurus Kanan Kumpulan.
Aziz berkata, sebanyak 200 pek makanan diagihkan untuk penjaga pesakit di beberapa wad terpilih di HRPZ II.
“Ini merupakan program kami yang pertama. InsyaAllah, kami akan jadikan program ini sebagai program tahunan kerana berasa bertanggungjawab kepada masyarakat khasnya pesakit dan penjaga pesakit di hospital,” ujarnya.