Accessibility Tools

Skip to main content

PKINK Santuni Warga Pondok Darul Ilmi

TANAH MERAH: Salah satu budaya menuntut ilmu dalam Islam adalah Rihlah yang bermaksud meninggalkan tempat kelahiran untuk menuntut ilmu daripada mereka yang alim dalam bidang masing-masing.

Ramai ilmuwan dan agamawan sanggup mengejar ilmu dengan mengembara jauh meninggalkan tanah air dan kampung halaman mereka. Keberkatan ilmu itu menjadikan penuntutnya dimuliakan masyarakat.

Menyedari hakikat itu, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyantuni warga emas yang menuntut ilmu agama di pondok pengajian agama sebagai satu sokongan kepada warga emas yang berusaha mendalami ilmu agama bagi melahirkan lebih ramai agamawan yang mampu menguasai pelbagai cabang ilmu tanpa batasan usia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab. Aziz Yunus berkata, sempena bulan Ramadan PKINK mengambil peluang dengan mempergiatkan lagi kerja-kerja kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan termasuklah warga pondok dan tahfiz.

"Ini satu penghargaan kita kepada masyarakat, dalam masa yang sama program ini sebagai salah satu cara pihak kami memberi balik kepada masyarakat setempat yang perlu dirai.

“Selain bagi memenuhi keperluan Sumbangan Sosial Korporat (CSR), program itu juga bagi merai warga pondok itu menyambut Ramadan dan Syawal dengan lebih ceria,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika satu Program Ihya’ Ramadan 1440H Komuniti Dan Masyarakat di Pondok Darul Ilmi, Bukit Gading, Tanah Merah, di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 200 warga pondok diberi kelengkapan solat dan kit makanan harian.

Hadir sama di majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Hal Ehwal Korporat) Kumpulan PKINK, Nik Kamil Amirah Ab Rahman, Pengurus Kanan Perundangan Dan Integriti Kumpulan, Ahlaami Ab Halim, Adun Gual Periok merangkap Mudir Pondok Darul Ilmi, Dato’ Mohamad Awang dan Timbalan Mudir Pondok Darul Ilmi, Shairazi Mohammad.

Sementara itu, Dato’ Mohamad Awang bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinaN PKINK terhadap golongan agama dan warga emas.

“Alhamdulillah, semoga dengan sumbangan ini mampu memberi kegembiraan dan keceriaan untuk warga pondok merai Syawal yang bakal kunjung tiba,” ujarnya.