Accessibility Tools

Skip to main content

PKINK Santuni Anak Yatim Raisa

TUMPAT 3 Jun : Kanak-kanak adalah antara golongan paling gembira apabila menyambut Aidilfitri. Namun, kegembiraan anak-anak yatim tidak sama dengan anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa di sisi bagi merayakan kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Menyedari hakikat itu, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) secara berterusan menyantuni dan merai anak yatim sekali gus membawa senyuman untuk anak kecil yang kurang bernasib baik itu.

Untuk kali ini, PKINK menyantuni 43 anak yatim Rumah Kebajikan Anak Yatim Dan Dhuafa’ Lilbanat Siti Aminah (RAISA), Pasir Pekan.

Kunjungan PKINK turut dimeriahkan dengan kehadiran isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Zabidah Ab. Hamid (Datin Bentara Kanan) yang mewakili PKINK menyampaikan sumbangan duit raya kepada penghuni dan sumbangan kewangan kepada RAISA untuk tujuan pengurusan.

Isteri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Na’imah Badruddin berkata, sumbangan itu diberikan sebagai kebajikan pihak PKINK dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Sumbangan ini juga sebagai simbolik kepada keprihatinan dan rasa tanggungjawab PKINK terhadap anak yatim bagi memastikan kebajikan anak yatim sentiasa dijaga.

“Saya juga berharap agar kita semua menjadikan sedekah ini sebagai satu amalan dalam kehidupan sesuai dengan tuntutan agama selain menyemai rasa tanggungjawab dalam membantu kebajikan dan mengekalkan keharmonian kita semua,” katanya ketika berucap di Program Ihya’ Ramadan 1440H Komuniti Dan Masyarakat di Rumah Kebajikan Anak Yatim Dan Dhuafa’ Lilbanat Siti Aminah (RAISA), Pasir Pekan, Tumpat, di sini semalam.

Hadir sama di majlis itu, Isteri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Hal Ehwal Korporat) Kumpulan PKINK, Khasaini Daud, Isteri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Kumpulan PKINK, Rosilawaty Abu Bakar, Pengurus Kanan Perancangan Korporat Kumpulan, Nik Farzimar Nik Omar, Pengurus Kanan Perundangan Dan Integriti Kumpulan, Ahlaami Ab Halim dan Pengurus RAISA, Sufiyah Mubarak.

Sementara itu, Datin Zabidah Ab. Hamid menyambut baik inisiatif penganjuran program ini kerana sebagai umat Islam, amatlah digalakkan untuk kita bersedekah dan seboleh – bolehnya menambah amal dan ilmu pada bulan yang mulia ini.

“Ini adalah platform yang baik untuk kita merasai pengalaman dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik terutama anak yatim. Program seperti ini juga akan memupuk keinsafan dalam diri kita.

“Selain bagi memenuhi keperluan Sumbangan Sosial Korporat (CSR) PKINK, program itu juga bagi merai anak-anak yatim itu menyambut Ramadan dan Syawal dengan lebih ceria,” katanya.