Sambutan Hari Raya Kumpulan PKINK Meriah, Satukan Rakyat Kelantan
KOTA BHARU 27 Jun – Majlis Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Kelantan Trade Center (KTC) di sini hari ini meriah dengan kehadiran lebih 3,000 orang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab. Aziz Yunus berkata, sambutan tersebut diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan di antara Kumpulan PKINK dan rakyat selain menghargai rakyat dan pihak yang terlibat atas sokongan kepada Kumpulan PKINK dalam memacu ekonomi negeri.
“Memang setiap tahun kita adakan sambutan hari raya yang merupakan acara tradisi Kumpulan PKINK, cuma kelainan pada tahun ini adalah perubahan tempat dimana pada sambutan tahun-tahun lalu diadakan di Perdana Resort tapi tahun ini kita adakan di Kelantan Trade Center (KTC).
“Dengan sambutan yang begitu meriah ini, ia menunjukkan rakyat dan PKINK saling melengkapi dan tanda sokongan yang penuh kepada Kumpulan PKINK,” katanya.
Ab. Aziz berkata, dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat, Kumpulan PKINK akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.
“Kita juga berharap agar majlis seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala pada masa akan datang,” katanya lagi kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan hari raya di sini hari ini.
Turut memeriahkan majlis, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah.
Jemaah Exco, Ahli Parlimen, Ahli Lembaga Pengarah serta Ketua Jabatan antara kenamaan yang turut hadir menyerikan majlis tersebut.
Pelbagai gerai makanan yang menghidangkan juadah popular seperti kambing golek, sate, roti jala, char kuew tiaw, ketupat, lemang, rendang, rojak buah, nasi arab, lontong dan roti john.
Selain itu, Menteri Besar, diiringi Timbalan Menteri Besar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK turut menyempurnakan gimik hari raya dengan membelah lemang serta menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis tersebut.