Accessibility Tools

Skip to main content

Kerajaan Negeri Fokus Pembangunan ICT Negeri

KOTA BHARU: Dalam memastikan pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) negeri terus maju, Kerajaan Negeri telah memberi tumpuan dan penekanan kepada pembangunan infra ICT, seperti perluasan kawasan liputan telekomunikasi dan penyediaan perkhidmatan wifi percuma kepada rakyat seperti yang dijanjikan dalam manifesto kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob berkata, untuk melangkah kehadapan negeri Kelantan hendaklah bersedia untuk menempuh kepesatan kemajuan sains dan teknologi dengan membuat persediaan yang rapi.

Katanya, ini kerana perkembangan sains dan teknologi akan memberi kesan kepada negeri terutama dalam membentuk modal insan yang berkualiti, sistem tadbir urus kerajaan dan pembangunan ekonomi negeri.

“Kerajaan telah membangunkan aplikasi pembayaran mudah alih Kelantan Pay melalui Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd (KIGSB) iaitu anak syarikat milik penuh PKINK yang dijangka mulai Ogos 2019, segala pembayaran cukai bandar pihak MPKB BRI boleh dibuat melalui Kelantan Pay, selepas pembayaran bil AKSB dan perkhidmatan oleh Majaari yang telah mula digunakan pada Jun lalu.

“Kerajaan juga akan memperluaskan penggunaan aplikasi Kelantan Pay kepada semua PBT dan Agensi Kerajaan yang berkaitan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Sains dan Teknologi Kelantan 3.0 (KIDEX 3.0) di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, Pengarah Bahagian Pengurusan Teknologi maklumat Kerajaan Negeri, Nik Rahimin Wan Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab. Aziz Yunus.

Karnival empat hari itu menyediakan 52 'booth' melibatkan semua teknologi.

Antara teknologi itu ialah 'drone', robotik, pemain 'e-Wallet', bayaran digital, pembayaran Gateway dan Maybank QRPay serta telekomunikasi.

Teknologi yang dipamerkan pula ialah Televisyen Litar Tertutup (CCTV), solar dan pameran inovasi serta rekacipta dari IPTA termasuk Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan agensi kerajaan.