Accessibility Tools

Skip to main content

KPPB Cipta Sejarah Syarikat Pertama di Kelantan Terima Sijil MSPO

GUA MUSANG: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui anak syarikat Kumpulan Perladangan PKINK Berhad (KPPB) berjaya memperolehi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan merupakan satu-satunya syarikat di Kelantan yang berjaya memperoleh sijil tersebut.

Sebanyak enam ladang di bawah KPPB dan sebuah kilang pemprosesan buah tandan segar bagi penghasilan minyak sawit mentah dan isi rong menerima sijil MSPO.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob berkata, sijil tersebut amat bermakna kerana menjadi satu piawaian kebangsaan ditetapkan oleh kerajaan yang wajib dilaksanakan selewat-lewatnya pada Jun 2019.

Katanya, amat membanggakan apabila KPPB berjaya memperoleh sijil berkenaan sejak November tahun lalu sekaligus sebagai langkah persediaan memasuki pasaran global.

“MSPO ini bertujuan memenuhi matlamat negara ke arah penghasilan produk sawit mampan, memenuhi permintaan pasaran antarabangsa dan memastikan penerimaan minyak sawit Malaysia di pasaran global.

“situasi industri sawit pada masa ini amat mencabar dengan harga sawit jatuh di paras yang membimbangkan. Saya berharap agar KPPB mampu mengekalkan kejayaan secara berterusan.

“Saya yakin KPPB mampu mengharungi cabaran ini dengan jayannya dan membawa nama Kelantan sebagai negeri pengeluar minyak sawit,’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Penyampaian sijil MSPO oleh Pengurus MPOCC, Mohd Hasbollah Suparyono kepada Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Perladangan PKINK, Zulkifli Mamat di Dewan Serbaguna KPPB, Ladang Sungai Terah di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Hal Ehwal Korporat) Kumpulan PKINK, Nik Kamil Amirah Nik Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KPPB, Zazali Japar.