KELSTONE Dan ASCII LINE Terima Penarafan Lima Bintang
KOTA BHARU 26 Sept : Kelstone Sdn Bhd (KSB) dan ASCII Line Sdn Bhd (ALSB) membuktikan bahawa syarikat milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) adalah berdaya saing dan daya maju apabila berjaya memperolehi penarafan lima bintang selepas menunjukkan prestasi paling cemerlang sepanjang tahun 2018.
Kelstone adalah sebuah syarikat yang berperanan membangunkan industri berasaskan sumber mineral manakala ASCII Line pula berperanan sebagai syarikat yang bertanggungjawab membina dan menyelenggara tapak-tapak serta struktur Menara telekomunikasi milik Infra Quest Sdn Bhd (IQSB) di negeri ini mengatasi 21 lagi anak syarikat Kumpulan PKINK apabila mendapat penilaian tertinggi dalam 9 kriteria yang dinilai terutama aspek keupayaan menjana keuntungan dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus berkata, penarafan bintang sejak 2013 dilaksanakan bertujuan memberi motivasi kepada anak-anak syarikat supaya melakukan yang terbaik dalam bidang masing-masing.
“Selain meneruskan transformasi Syarikat Anak, pengurusan Perbadanan turut merakyatkan ekonomi ummah dan meningkatkan penjanaan hasil, keuntungan dan aliran tunai Kumpulan PKINK.
“Perbadanan juga turut memberi fokus kepada tiga Teras Utama dalam mengukuhkan kembali kedudukan kewangan Kumpulan PKINK untuk Separuh Tahun Ke 2 bagi tahun 2019,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Penarafan Bintang Syarikat Anak Kumpulan PKINK dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Kumpulan PKINK 2018 di sini tengahari tadi.
Selain Kelstone dan ASCII Line, sebuah lagi anak syarikat PKINK iaitu Infra Quest Sdn Bhd (IQSB) turut diiktiraf sebagai antara tiga yang terbaik apabila mendapat penarafan empat bintang.
Kesemua penerima penarafan bintang masing-masing menerima wang tunai RM5000 dan RM2000 beserta sijil dan plak penghargaan.
Pada majlis itu juga, seramai 39 orang anggota ibu pejabat PKINK dan anak-anak syarikat menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atas prestasi mereka sepanjang 2018 dan kesemua penerima membawa pulang wang tunai RM1,000 serta sijil.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PKINK, Dato’ Ahmad Yakob.
Turut hadir, Lembaga Pengarah PKINK, Dato’ Hanifa Ahmad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Hal Ehwal Korporat) Kumpulan, Nik Kamil Amirah Nik Ab Rahman dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Kumpulan, Mohamad Nasriff Daud