Accessibility Tools

Skip to main content

PROTUNE CUNGKIL BAKAT USAHAWAN MUDA

BESUT 17 Oktober : Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui Bahagian Usahawan, IKS & Perhubungan Antarabangsa (BUIPA) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan(JPN) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah menganjurkan Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNE) Peringkat Negeri Kelantan 2019 bertempat di Tanjung Demong Beach Resort, Besut, Terengganu pada 14-17 Oktober lalu.

Program yang disertai oleh 21 buah sekolah itu melibatkan 9 buah sekolah di bawah JPN dan 11 buah sekolah di bawah YIK dengan penglibatan seramai 42 guru pembimbing dan 126 pelajar.

Sebanyak 6 Anugerah yang dipertandingkan iaitu, Anugerah Persembahan terbaik, Anugerah Laporan Syarikat Terbaik, Anugerah Produk Kreatif Terbaik, Anugerah Perkhidmatan Terbaik, Anugerah Pengurus Terbaik, dan Anugerah Guru Pembimbing Terbaik.

Barisan panel juri terdiri daripada Ariffin Ibrahim selaku ketua juri, Muhammad Fathi Kamarazzaman, Zainul Amin, Norsaniah Omar dan Mohamad 'Alim Abdullah.

Kategori Anugerah Persembahan Terbaik berjaya disandang oleh SMK (A) Wataniah Machang dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 500 berserta sijil dan plak. Naib Johan menjadi milik SMK (A) Falahiah dan SMK Machang dengan membawa pulang wang tunai RM 300 berserta sijl dan plak. Tempat Ketiga dimenangi oleh SMK Machang dengan membawa pulang wang tunai RM 200 berserta sijil dan plak.

Bagi Anugerah Laporan Syarikat Terbaik pula, Johan menjadi milik Maahad Amir Indera Petra, Naib Johan pula dimenangi oleh Maahad Syamsul Maarif (P) Pulai Chondong dan tempat ketiga dimenangi oleh SMK (A) Wataniah, Machang.

Anugerah Pengurus Terbaik dimenangi oleh Pengurusan SMK (A) Wataniah, Machang, Anugerah Produk Kreatif Terbaik dimenangi oleh Maahad Rahmaniah, Kuala Krai, Anugerah Perkhidmatan Terbaik dimenangi oleh SMK Melor dan Anugerah Guru Pembimbing Terbaik dimenangi oleh SMK (A) Wataniah, Machang.

Majlis Perasmian Penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Hal Ehwal Korporat) Kumpulan , Nik Kamil Amirah Nik Ab Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan Dan Pembangunan) Kumpulan, Mohamad Nasrif Daud, Pengurus BUIPA Kumpulan, Tuan Muhammad Faizal Tuan Sulaiman, Wakil PKEN Kedah, Perlis dan Terengganu ,Wakil Pengarah YIK dan JPN dan Pengetua-pengetua Sekolah.