PKINK Sertai Lafaz Ikrar Integriti MEA
PUTRAJAYA : Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Hal Ehwal Korporat) PKINK, Nik Kamil Amirah Nik Ab Rahman yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab. Aziz Yunus menghadiri sambutan Hari Integriti peringkat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) yang diadakan di Auditorium Blok B1, Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri, di sini pada 31 Oktober lalu.
Kumpulan PKINK turut diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan Dan Pembangunan) Kumpulan, Mohamad Nasrif Daud dan Pengurus Kanan Perundangan dan Integriti Kumpulan, Ahlaami Ab Halim.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali dengan menandatangani Ikrar Integriti yang disaksikan lebih 400 warga MEA dan agensi di bawahnya termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Sempena majlis ini juga, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali telah menerima lafaz ikrar integriti dari warga MEA dan turut menyampaikan Watikah Ikrar Integriti kepada 31 buah agensi di bawah MEA. Ikrar Integriti MEA diperkenalkan bagi meningkatkan iltizam serta memperkukuh pembudayaan integriti dalam pelaksanaan kerja di MEA.
Sejajar dengan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, aspek tadbir urus, integriti dan antirasuah perlu diberikan perhatian dan agenda ini diteruskan dalam penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, Pengarah Bahagian Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Azhar Noraini yang mewakili Ketua Setiausaha MEA, Dato’ Saiful Anuar Lebai Hussen, Ketua-ketua Agensi di bawah MEA, Pegawai-pegawai Kanan SPRM, Pengarah-pengarah Bahagian serta warga MEA.
Sumber dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA)