Peserta Khatan Dirai Bagai Raja Sehari
KOTA BHARU, 15 Dis : Seramai 50 orang anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan dirai bagaikan raja sehari apabila diarak membonceng motosikal berkuasa tinggi sejauh lima kilometer menuju ke Program Sunathon Amal I Kasih 2019 anjuran bersama Rantaian Kasih Malaysia Cawangan Kelantan (i-Kasih Kelantan) dan Gabungan NGO Hadapan Kelantan (GOHEKelate) dengan kerjasama Kelab Sukan Dan Kebajikan Kumpulan PKINK (KSKK PKINK) dan beberapa NGO yang terlibat di sini.
Anak-anak turut disuap pulut semangat dan dimandikan dengan semburan air daripada jentera Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu sebelum dikhatankan beramai-ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK merangkap Penaung KSKK PKINK, Ab Aziz Yunus berkata, PKINK amat menyambut baik inisiatif penganjuran program ini kerana sebagai muslim, kita amat digalakkan untuk mengukuhkan ikatan silaturrahim sesama masyarakat muslim terutamanya melalui program dan aktiviti yang melibatkan masyarakat.
Menurutnya juga, tanggungan kos berkhatan itu dibiayai sepenuhnya oleh NGO yang terlibat melalui kutipan sumbangan syarikat korporat dan orang ramai.
"PKINK sentiasa membuka ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menganjurkan program bersifat dakwah dan kebajikan kerana itu adalah tanggungjawab sosial korporat kami untuk masyarakat bagi memperkukuhkan hubungan baik antara pihak kerajaan, NGO dan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sunathon Amal I Kasih 2019 di Sekolah Kebangsaan Abdul Hadi, Kampung Banggol, semalam.
Sambutan ibu bapa dan penduduk kampung amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 500 orang ke program ini yang turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma, pemeriksaan kesihatan percuma, derma darah dan lain-lain acara sampingan
Turut hadir sama, Pengerusi i-Kasih Kelantan, Lokman Ishak, Pemangku Yang DiPertua KSKK PKINK, Nor Azuwan Salleh, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Abdul Hadi, Wan Badruddin Wan Omar, Imam Masjid Sultan Ismail Petra, Mukim Banggol, Muhammad Ammar Azlan dan Pengerusi-pengerusi NGO di bawah GOHEKelate.