MAJLIS UCAPTAMA KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF KUMPULAN PKINK 2020
KOTA BHARU, 23 Januari : Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Bin Yunus telah menyampaikan amanat tahun 2020 kepada pengurusan dan anggota Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dalam Majlis Ucaptama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK 2020 yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre hari ini.
Warga Kumpulan PKINK diseru supaya menghayati Strategi Lautan Hijau yang mana di dalamnya terdapat Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan 2019-2023 yang menjadi rujukan dan panduan utama bagi Kumpulan PKINK dalam merangka hala tuju dan strategi bagi mendepani cabaran pada tahun 2020.
Strategi Lautan Hijau merupakan integrasi dari tiga nilai di mana nilai sosial, nilai ekonomi dan nilai alam sekeliling yang saling berkaitan antara satu sama lain. Melalui strategi ini Kumpulan PKINK bergerak ke hadapan sebagai agensi utama yang memacu nilai ekonomi sekali gus membawa nilai sosial ke tahap yang lebih tinggi dengan penglibatan rakyat dalam setiap aktiviti perniagaan. Di samping itu, setiap aktiviti yang dijalankan adalah mengambil kira kepentingan alam sekitar yang menjadi nadi kepada kehidupan masyarakat yang makmur dan sejahtera.
Ab Aziz berkata Kumpulan PKINK menggariskan tiga fokus utama merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri sebagai pemegang taruh utama Kumpulan PKINK iaitu pelaksanaan transformasi syarikat anak, peningkatan penjanaan hasil pendapatan dan merakyatkan ekonomi ummah.
Sasaran utama Kumpulan PKINK pada tahun ini adalah memastikan semua aktiviti syarikat kumpulan bergerak dengan fokus dan bertepatan dengan islah dalam pembangunan mampan yang menzahirkan kesejahteraan dan memberi keberkatan kepada semua. Melalui penubuhanan Majlis Penasihat Syariah Kumpulan PKINK yang memantau perjalanan aktiviti perniagaan Kumpulan PKINK supaya sentiasa bertepatan dengan pentadbiran Islam di mana keadilan ditegakkan, kebajikan dipenuhi, keamanan dinikmati dan kemajuan dikecapi.
Kumpulan PKINK pada tahun ini turut mensasarkan pendapatan lebih tinggi dalam setiap sektor perniagaan pada tahun ini dan terus memberi impak yang besar kepada perkembangan pembangunan di Negeri Kelantan.