KURSUS PENULISAN MENINGKATKAN KECEKAPAN MENULIS ANGGOTA PKINK
KUALA TERENGGANU, 1 Feb : Kecemerlangan sesebuah organisasi adalah bergantung kepada tahap pengetahuan, kecekapan dan kemahiran anggota organisasi dalam melaksanakan tugas. Menyedari hakikat itu, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan telah menganjurkan Kursus Penulisan Surat Rasmi, Memo dan Minit Mesyuarat Berkualiti bagi memastikan sebarang dokumen yang dihasilkan adalah berkualiti.
Kursus tiga hari yang bermula pada 30 Januari hingga 1 Februari 2020 bertempat di Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu telah dikendalikan oleh Encik Mat Zizi Ismail dan Puan Sapinah Zakaria dari Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands. Pelbagai teknik penulisan dan ilmu bahasa telah dikongsikan untuk memastikan setiap penulisan dokumen mencapai objektif yang diinginkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK Ab Aziz Yunus semasa merasmikan kursus mengingatkan peserta bahawa pengetahuan dan kebolehan menulis adalah satu kemahiran yang sangat penting. Dokumen dari hasil penulisan yang berkualiti akan membantu pihak pengurusan memahami setiap cadangan yang dikemukan seterusnya melancarkan gerak kerja bagi pelaksanaan aktiviti-aktiviti di Perbadanan.
“Adalah penting untuk setiap anggota yang terlibat di dalam tugasan menyediakan dokumen mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran penulisan yang baik. Ianya bertujuan bagi memudahkan tugas penyediaan surat atau dokumen rasmi mempunyai maksud yang jelas dan memberi imej yang baik kepada PKINK,” katanya.
Turut hadir, Pengurus Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, Ahmad Nazri Ismail.