KUNJUNGAN HORMAT SG4 GROUP SDN BHD KE PKINK
Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) telah menerima kunjungan hormat daripada SG4 Group Sdn. Bhd. pada Rabu, 4 Jun 2025, bertempat di Bilik Perbincangan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tingkat 11, Bangunan PKINK.
Delegasi SG4 Group telah diketuai oleh Encik Muhd Khidir Izaidin, Ketua Pegawai Eksekutif SG4 Group Sdn. Bhd., bersama Encik Khusairi bin Mohd Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif East Coast Fertilizer Sdn. Bhd. Rombongan ini telah disambut mesra oleh YABhg. Dato’ Sr. Haji Zamri Haji Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK.
SG4 Group merupakan sebuah entiti perkongsian strategik melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang kini giat meneroka pelbagai bidang pembangunan termasuk ekonomi, pendidikan, infrastruktur, teknologi hijau dan komunikasi.
Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan potensi kerjasama strategik antara PKINK dan SG4 Group, khususnya dalam meneroka peluang pelaburan bersama dalam sektor-sektor berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan.
PKINK mengalu-alukan pertemuan ini sebagai satu inisiatif permulaan ke arah hubungan kolaboratif yang diyakini mampu memberikan impak positif terhadap landskap pelaburan dan pembangunan sosioekonomi negeri secara menyeluruh.