Accessibility Tools

Skip to main content

PKINK HARGAI SUMBANGAN ANGGOTA MELALUI MAJLIS PENYAMPAIAN APC 2024

Kota Bharu – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) terus komited menghargai sumbangan dan kecemerlangan anggotanya menerusi penganjuran Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, yang telah berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC) di sini, semalam.

Majlis ini dirasmikan oleh YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Hj. Mohd Nassuruddin Hj. Daud, Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PKINK. Beliau dalam ucapannya menyatakan bahawa majlis ini bukan sahaja sebagai penghargaan kepada prestasi individu, malah sebagai pemangkin kepada kecemerlangan berterusan dalam organisasi.

Sebanyak tiga kategori anugerah disampaikan pada majlis kali ini, iaitu Anugerah Sihat Cergas, Anugerah 3 Dekad @ PKINK dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), yang meraikan warga kerja PKINK atas komitmen, kesetiaan dan kecemerlangan dalam tugas masing-masing.

Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar turut menyentuh mengenai cabaran global yang dihadapi kini, termasuk kesan langsung pergolakan geopolitik antarabangsa terhadap ekonomi negeri dan negara. Namun beliau kekal optimis dengan keupayaan Kumpulan PKINK untuk terus menerajui pembangunan sosioekonomi Kelantan.

“Saya menaruh keyakinan penuh terhadap keupayaan seluruh warga kerja serta syarikat-syarikat di bawah Kumpulan PKINK untuk terus memainkan peranan secara proaktif. Tingkatkan kemahiran, kukuhkan profesionalisme, dan lonjakkan prestasi kerja demi memacu Kelantan ke arah ekonomi yang mampan, kompetitif dan sejahtera,” katanya.

Tambah beliau, PKINK bukan sahaja berperanan dalam pembangunan industri dan komersial negeri, malah menjadi peneraju kepada pelaksanaan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam, selari dengan Pelan Induk Kelantan Sejahtera 2033.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Dato' Haji Hassan; Pegawai Kewangan Negeri Kelantan, YB Dato' Rosnazli Haji Amin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, YABhg. Dato' Sr. Haji Zamri Haji Ismail; Ahli – ahli Lembaga Pengarah PKINK serta barisan Pengurusan PKINK. Jamuan turut disediakan sebagai tanda penghargaan kepada semua warga kerja yang diraikan.

Pengiktirafan menerusi majlis ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kerja berpasukan dan motivasi dalam kalangan warga PKINK, malah mengukuhkan budaya kerja cemerlang yang selari dengan visi PKINK sebagai agensi utama pembangunan negeri Kelantan.